KOTA KINABALU, 16 Jun : Statistik Kementerian Sumber Manusia menunjukkan hampir 45 000 rakyat Sabah telah berhijrah dari negeri itu sejak 2020 untuk mengejar peluang ekonomi yang lebih baik di tempat lain.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kadar migrasi keluar yang berkembang pesat di kalangan rakyat Sabah boleh menyukarkan perlaksanaan inisiatif kerajaan pada masa hadapan.
Katanya, ia termasuklah mengisi pekerjaan baharu selain membantutkan pertumbuhan ekonomi Sabah.
“Sehubungan itu kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan di Sabah bagi membangun serta melaksanakan polisi yang mampu menarik pelaburan baharu bernilai tinggi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp)Â di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut , Saravanan berkata, pendekatan yang bakal diperkenalkan itu diharap dapat mewujudkan peluang baharu untuk tenaga kerja tempatan dan golongan profesional di negeri ini.
“Kementerian akan terus memperkenalkan inisiatif yang dapat membantu rakyat Sabah untuk terus meningkat, melatih semula, menyilang serta mempelbagaikan kemahiran mereka menerusi agensi seperti HRD Corp,”katanya.
Sementara itu beliau turut memberitahu, Malaysia mencatatkan peningkatan stabil dalam populasi bandarnya sejak 50 tahun yang lalu.
Katanya, negara mencatatkan 76.8 peratus pada 2020 berbanding 26.8 peratus pada 1970. -TVS