KUCHING, 16 Jun : Tidak sampai 24 jam menjejak kaki di Bumi Kenyalang selepas pulang dengan kejuaran dari Pakistan, petinju kebanggaan Sarawak, Daeloniel McDelon kembali ke gelanggang malam tadi.
Daeloniel berkata, dia tidak mempunyai masa panjang untuk berehat dan menikmati kejayaan yang dicapai pada hujung minggu lepas.
Ini kerana katanya dia perlu membuat persiapan untuk menyertai kejohanan terbaharu dalam masa terdekat.
“Sebenarnya bermula pada 20 hingga 27 Jun ini , saya akan terlibat dengan Kejohanan Tinju Golden Glovers di Perlis.
“Habis pertandingan di utara tanah air itu, baru saya fikirkan untuk mengambil cuti sebentar,” katanya kepada TVS.
Baca > > > Petinju Sarawak juara kejohanan tinju profesional di Pakistan
Baca > > > ‘Kilat Boy’ sedia gegar gelanggang tinju di Pakistan
Malam kelmarin, Daeloniel McDelon Bong menerima ‘Hero’s Welcome’ sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) selepas kejayaannya menjuarai Kejohanan Tinju Profesional Pakistan pada Sabtu lepas.
Mengimbas kembali detik menjuarai kejohanan itu menerusi technical knock out (TKO) ketika menewaskan petinju tuan rumah, Sikender Abbasi, petinju berusia 23 tahun ini berkongsi satu rahsia.
“Sebenarnya saya berasa sangat gementar sebelum bertarung disebabkan akan beraksi di hadapan penyokong lawan.
“Bagaimanapun selepas kaki melangkah masuk ke gelanggang, saya mula berasa teruja kerana mendapat peluang untuk menentang Abbasi yang sangat dikenali di pentas Asia,”katanya.
Katanya, ketika pertarungan bermula, dia kekal dengan perancangan yang diatur dan tidak terlalu mengikut rentak lawan.
“Alhamdulillah urusan saya dipermudahkan pada hari berkenaan,”katanya.
Ditanya mengenai sasaran di Perlis pula, petinju kelahiran Sri Aman yang digelar Kilat Boy ini berkata, dia tidak mahu menekan diri dengan meletakkan sasaran sebaliknya berikrar untuk memberi aksi terbaiknya.
Sementara itu ditanya tentang statusnya selaku atlet ketika ini, Daeloniel memberitahu, dia merupakan atlet Sarawak dan masih ‘belum’ bernaung di bawah Persekutuan Tinju Malaysia (PTM).
“Saya berlatih di Sarawak dan elaun dibayar oleh Majlis Sukan Negeri Sarawak dan Sarawak Sports Corporation (SSC),”katanya.
Bagaimanapun katanya sekiranya mendapat tawaran menyertai PTM, sudah pasti dia akan menimbangkan tawaran berkenaan sebaiknya.
“Namun saya mungkin akan memohon untuk kekal berlatih di Sarawak kerana sudah serasi dengan keadaan di sini malahan dapat bekerjasama sangat baik dengan jurulatih di sini,”katanya.
Ditanya tentang impiannya dalam sukan ini, Daeloniel berkata, memandangkan tinju merupakan sukan yang dipertandingkan di pentas Olimpik, dia juga menyimpan hasrat untuk beraksi dalam temasya sukan terbesar dunia itu satu hari nanti.
“Kalau tidak ada rezeki untuk bertarung di Olimpik, mungkin saya akan bermain di arena profesional sahaja dan merebut tali pinggang yang dipertandingkan,”katanya. -TVS