KUCHING, 16 Jun : Bersempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022, Pusat Komuniti Digital (DCC) telah menganjurkan 10 program satelit di seluruh Sarawak untuk meningkatkan penguasaan kemahiran internet.
Program berkenaan yang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) memfokuskan kepada pengenalan asas Internet dan juga mempelajari terma-terma yang digunakan dalam internet.
Menurut DCC, pada 7 Jun lepas, program dilaksanakan di Perpustakaan Desa Kampung Garung.
“Seterusnya pada 10 Jun, DCC Perpustakaan Desa Kampung Garung telah menganjurkan program ‘Vlogging Jelajah Padawan: Taman Rekreasi Kota Padawan,” jelas DCC menerusi kenyataan media.
Program berkenaan antara lain bertujuan untuk memupuk peserta menjadi pencipta kandungan di platform YouTube serta mempromosikan semua tempat rekreasi dan percutian di Padawan. – TVS