KOTA KINABALU, 16 Jun : Idea untuk menghalalkan pendatang tanpa izin sebagai tenaga kerja boleh membawa kesan yang tidak diingini kepada tenaga kerja negara, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata tindakan terbaik sebenarnya ialah menghantar pulang tanpa izin itu ke negara asal mereka jadi tidak timbul masalah terutama membabitkan tenaga kerja negara.
“Ia adalah idea ‘bodoh’ untuk membenarkan (mereka bekerja) sedangkan mereka masuk secara haram ke negara anda, mereka mesti dihantar pulang dan bukan menghalalkan mereka, jika pendatang haram datang ke negara anda dan mereka dihalalkan bermakna kita akan mempunyai lebih ramai pendatang tanpa izin ke negara ini.
“Kita tidak sepatutnya melakukan apa-apa yang menggalakkan pendatang tanpa izin datang ke negara kita,” katanya pada sidang media selepas melancarkan forum kebangsaan bertajuk “Penghijrahan Modal Insan dan Kesannya Terhadap Sabah” di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp Datuk Seri Jamil Salleh.
Sementara itu, Saravanan menyuarakan kebimbangannya berhubung penghijrahan terutama melibatkan golongan muda dari Sabah ke negeri lain dalam usaha mencari peluang ekonomi yang lebih baik.
Beliau berkata pada tahun 2020 sahaja, seramai 45,900 orang dari Sabah berhijrah dari negeri ini.
“Kementerian komited untuk bekerjasama dengan semua pihak di Sabah untuk membangun dan melaksanakan dasar yang boleh menarik pelaburan bernilai tinggi dan mewujudkan peluang baharu untuk bakat mahir dan pekerja berpengetahuan di negeri ini.
“Kementerian akan terus memperkenalkan inisiatif yang dapat membantu rakyat Sabah untuk meningkatkan kemahiran, latihan semula, kemahiran silang dan pelbagai kemahiran melalui agensi kami HRD Corp.
“Ini akan dilengkapkan dengan program yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial, Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dan TalentCorp,” katanya. -TVS