KHARKIV, 16 Jun : Dua rakyat Amerika Syarikat (AS) yang menjadi ‘pejuang sukarela’ menentang pencerobohan tentera Rusia di Ukraine dilaporkan hilang sejak lebih seminggu lepas, lapor Reuters.
Kehilangan Alexander Drueke, 39 dan Andy Huynh, 27, dipercayai akibat ditangkap oleh Rusia, dakwa ahli keluarga mereka.
Kali terakhir kedua – duanya berhubung dengan keluarga masing – masing ialah pada 8 Jun lepas ketika berada di bandar ini dan sejak itu, gagal dikesan oleh keluarga masing – masing.
Setakat ini Jabatan Negara AS menerusi jurucakapnya memaklumkan, laporan bahawa kedua-dua lelaki itu menjadi tawanan perang oleh Rusia tidak dapat disahkan.
Di pihak Rusia, Kementerian Pertahanannya juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan setakat ini.
Sekiranya dua lelaki itu ‘sah’ ditangkap, mereka akan menjadi warga AS pertama menjadi tawanan perang dalam konflik Rusia -Ukraine yang bermula pada 24 Februari lepas.
Jurucakap keselamatan negara, John Kirby berkata, sekiranya laporan itu benar, Amerika Syarikat akan berusaha untuk mencari dua rakyatnya itu.
Ibu Alexander, Lois Drueke berkata, dia telah berhubung dengan kedutaan AS di Ukraine yang sedang mencari anaknya.
“Sebagai ibu sudah tentu saya tidak mahu anak saya dalam bahaya,” katanya.
Sebelum ini Drueke menyertai misi serupa di Iraq dengan kali terakhir sebagai penembak utama di Baghdad pada 2008 hingga 2009.
Manakala Huynh ialah bekas tentera laut AS yang meninggalkan perkhidmatan itu pada 2018.
Kedua-dua lelaki itu tidak mengenali satu sama lain sebelum bertemu di Ukraine.-TVS