KUCHING, 16 Jun : Seramai 596 calon daripada 36, 385 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sarawak memperoleh keputusan cemerlang semua ‘A’.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, kesemua calon berkenaan mendapat sekurang-kurangnya ‘A-’ bagi semua subjek yang diambil.
Ujar beliau, daripada jumlah berkenaan, seramai 12 calon berjaya mendapat ‘A+’ bagi kesemua subjek.
“Keputusan juga menunjukkan seramai 12 orang calon di Sarawak mendapat keputusan berprestasi cemerlang iaitu mencapai gred ‘A+’ bagi semua mata pelajaran yang mereka ambil,”katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2021, peringkat Sarawak di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada Khamis.
Perincian keputusan cemerlang di Sarawak katanya turut menyaksikan seorang calon mencapai 11A+ bagi semua mata pelajaran makala enam lagi mencapai ‘10A+’ dalam semua mata pelajaran.
“Seramai lima calon pula mendapat ‘9A+’ untuk semua kertas peperiksaan yang diduduki,”katanya.
Dalam pada itu, Azhar memaklumkan, dua calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road Kuching mendapat semua ‘A+’ bagi SPM 2021.
Katanya dua calon cemerlang itu ialah Hong Yong Kai yang memperoleh ‘11A+’ dan Ian Jong Kai Yi, ‘10A+’. -TVS