Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022 kali ini memantapkan lagi langkah-langkah dalam mendekatkan pengunjung terhadap kesedaran ‘hijau’ dengan memperkenalkan beberapa program mahupun inisiatif baharu.

RWMF 2022 : Larangan guna botol air plastik, Sarawak perluas kesedaran hijau

ByOdleen Catherny

KUCHING, 15 Jun : Rainforest World Music Festival (RWMF) 2022 bakal menjadi medan untuk Sarawak mendekatkan pengunjung terhadap aspek kelestarian alam menerusi beberapa program dan peraturan baharu yang diperkenalkan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antaranya larangan menggunakan botol air plastik.

Katanya, selain itu menerusi kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), kerajaan negeri juga mahu mempromosikan kepada pengunjung mengenai beberapa lagi inisiatif hijau yang dilaksanakan termasuk penanaman bakau.

” Ini penting kepada mereka yang datang dari luar untuk melihat betapa Kerajaan Sarawak sangat serius dan memandang ke hadapan dalam isu memelihara dan memulihara alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena RWMF 2022 Walkabout di Kampung Budaya Sarawak, di sini, hari ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama wakil STB hadir meninjau persiapan RWMF disini hari ini.

Katanya, sebelum ini pengunjung RWMF sudah dibiasakan dengan membawa botol air minuman sendiri untuk mengekang penggunaan plastik yang tidak dapat dikawal.

“Kali ini, STB memperkenalkan program ecoGreenPlanet sebagai inisiatif hijau yang baharu dalam usaha mendalami agenda Inisiatif Pelancongan Bertanggungjawab STB,”katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor berkata, program berkenaan memberi peluang kepada pengunjung festival dalam talian untuk memainkan peranan mereka menyelamatkan alam sekitar.

Katanya menerusi kutipan tiket konsert, sebahagiannya akan digunakan untuk aktiviti penanaman pokok yang akan diadakan selepas festival.

“Anda hanya bayar RM25 untuk menonton secara ‘online’, RM10 akan digunakan untuk Beli pokok bakau yang akan ditanam.

“Setakat ini kami mempunyai 4,500 pokok bakau untuk ditanam,”katanya.

Amalan hijau lain semasa festival termasuk pemasangan stesen air di seluruh Kampung Budaya Sarawak dengan kerjasama Canard Media Sdn. Bhd. manakala sisa makanan sepanjang festival akan ditukar menjadi bio-protein untuk baja dan makanan haiwan untuk petani tempatan oleh WormingUp.

Sementara itu, pengunjung turut digalakkan menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik yang disediakan di Pusat Beli-belah The Hills, Riverside Majestic Hotel Astana Wing dan Plaza Merdeka.

Perkhidmatan bas ulang-alik dari Kuching ke kawasan tempat letak kereta Damai Central berhampiran Kampung Budaya Sarawak akan beroperasi bermula pukul 9 pagi hingga 8 malam.

Bagi mereka yang pulang ke bandar pula, perjalanan dari tempat letak kereta di Damai Central bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 pagi keesokan harinya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan