KUCHING, 15 Jun : Parti Rakyat Sarawak (PRS) berikrar untuk merampas semula tiga kerusi Parlimen yang mereka tewas serta satu yang ‘dilarikan’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, empat kerusi berkenaan ialah Lubok Antu, Julau, Selangau dan Sri Aman.
Katanya hasrat berkenaan mampu dicapai berdasarkan prestasi baik ditunjukkan oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 hujung tahun lepas.
“Kejayaan pada PRN perlu kita teruskan pada PRU pula. Kita (PRS) hilang empat kerusi, jadi sudah pasti mahu ambil semula,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama TVS baru – baru ini.
Pada PRU 2018, PRS diberi tanggungjawab bertanding di enam kerusi iaitu Kanowit, Hulu Rajang, Sri Aman, Julau , Lubok Antu dan Selangau.
Calon parti itu berjaya menang di Kanowit yang disumbangkan oleh Aaron Dagang, Hulu Rajang (Wilson Ugak Kumbong) dan Sri Aman menerusi Dato Masir Anak Kujat.
Masir bagaimanapun memilih untuk keluar PRS pada 2020 dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Pada March lepas, Masir bertindak pula keluar PRS dan mengisytiharkan dirinya selaku Ahli Parlimen bebas yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Berhubung strategi PRS untuk menawan kembali kerusi – kerusi berkenaan, Aaron Ago yang juga Timbalan Menteri Kesihatan II berkata, beliau percaya kerjasama erat dengan tiga lagi dalam komponen GPS mampu memberi keputusan yang diharapkan.
Selain itu katanya, PRS juga telah meneruskan usaha memberi tumpuan meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar.
“Perkara ini selalu menjadi isu besar kita. Sebab itu kita memerlukan infrastruktur, sediakan kemudahan serta bantuan kepada rakyat di kawasan berkenaan,”katanya. -TVS