KUCHING, 15 Jun : Liverpool mengorak langkah awal apabila mengesahkan perpindahan penyerang muda sensasi Eropah, Darwin Nunez ke kelab Merseyside itu pada Selasa.
Nunez, penyerang berusia 22 tahun dari Uruguay, melengkapkan perpindahan dari Benfica selepas beberapa siri perbincangan di antara LIverpool dan Benfica yang telah mengambil masa beberapa minggu.
Kata putus akhirnya berjaya dicapai pada hujung minggu lalu apabila Benfica mengumumkan setuju untuk melepaskan Nunez ke Liverpool dengan nilai perpindahan yang mencecah 100 Juta Euro atau 85 juta paun.
Enggan berpuas hati berada di tempat kedua Liga pada musim lepas, Liverpool memecahkan rekod perpindahan kelab dengan perpindahan Nunez ini, melepasi rekod ketika perpindahan Virgil van Dijk ke Liverpool pada Januari 2018 dengan nilai 75 juta paun.
Nunez yang selesai menjalani pemeriksaan perubatan di pusat latihan Liverpool pada pagi Selasa akan mengikat mengikat kontrak selama 6 tahun dan akan menyarungkan jersi bernombor 27 di Liverpool nanti. Beliau merupakan penjaring utama untuk kelab Benfica pada musim lalu dan telah menjaringkan 34 gol dari 41 perlawanan untuk kelab dari Portugal itu.
Nunez yang telah beraksi 11 kali bersama Uruguay memulakan kerjayanya di Uruguay bersama kelab Penarol. Beliau kemudiannya menyertai kelab Almeria dari La Liga Sepanyol pada 2019 sebelum disambar oleh Benfica setahun kemudian.
Sebagai seorang penyerang dengan ketinggian 1.90 meter, Nunez juga dikenali kerana kepantasan beliau dalam mengkucar kacirkan pertahanan lawan. Beliau bakal bersaing merebut tempat di barisan hadapan Liverpool yang diketuai oleh pemenang bersama kasut emas Liga Perdana Inggeris musim lepas Mohamed Salah, Sadio Mane, Diogo Jota, Roberto Firmino dan Luiz Diaz.
Terdahulu pada 10 May lepas, Manchester City telah mengumumkan kejayaan mereka mendapatkan Erling Haaland, penyerang prolifik yang menjadi rebutan kelab-kelab di Eropah apabila mengikat beliau dengan kontrak selama 5 tahun.
Berusia 21 tahun, Perpindahan Haaland dari kelab liga German, Borussia Dortmund dengan nilai keseluruhan 51 juta paun telah menamatkan spekulasi berkaitan dengan kelab yang bakal beliau sertai.
Beliau yang bermain untuk Norway diperingkat antarabangsa telah menjaringkan 85 gol dari 88 perlawanan untuk kelab Dortmund, dan diberitakan akan menjadi antara pemain yang akan menerima gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris.
Kehadiran penyerang hebat ini bakal menambahkan sengat pasukan City dan akan menjadi senjata terbaru mereka dalam usaha untuk mengekalkan status mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris.
Dengan pertambahan kualiti dari 2 penyerang hebat Eropah ini, dijangkakan percakaran untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim terbaru 2022/2023 akan menjadi lebih sengit.
Kelab – kelab tradisi seperti Manchester United, Arsenal, Chelsea dan Tottenham Hotspur pasti nya enggan berpeluk tubuh dan akan menguatkan pasukan masing-masing untuk mencabar Liverpool dan Manchester City.
Dengan tempoh masa perpindahan pemain masih lagi berbaki 2 bulan, pasukan-pasukan Liga Perdana Inggeris dijangka akan terus membuat kejutan dengan mengikat pemain-pemain hebat untuk beraksi di liga tersebut. – TVS