KUCHING, 15 Jun : Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini menerima kunjungan hormat Duta Jerman ke Malaysia, Dr. Peter Bloomeyer di pejabatnya.
Dalam pertemuan lebih satu jam itu, Awang Tengah dan Bloomeyer membincangkan pelbagai potensi pelaburan yang dapat dijalankan antara Sarawak dengan negara berkenaan pada masa akan datang.
Awang Tengah yang juga Menteri Pelaburan Antarabangsa dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak turut mengambil peluang menerangkan pelaburan berteknologi tinggi di Sarawak dalam pertemuan berkenaan.
Antara yang turut disentuh termasuk potensi sekiranya Jerman berminat untuk melabur di beberapa taman perindustrian seperti di Samajaya High Tech Park dan Samalaju di Bintulu.
Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datu Len Talif Salleh, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkarnain Misron dan Pegawai Khas MINTRED, Datu Liaw Soon Eng. – TVS