KUALA LUMPUR, 15 Jun : Inisiatif terjemahan langsung Khutbah Hari Arafah dari Mekah, Arab Saudi ke 10 bahasa termasuk Bahasa Melayu, akan diteruskan pada musim haji kali ini.
Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata inisiatif ini bagi membolehkan jemaah haji serta umat Islam di seluruh dunia yang mendapat akses secara langsung, memahami kandungan teks khutbah.
Khutbah musim haji 1443 H beserta terjemahan langsung akan disiarkan dalam 10 bahasa; Inggeris, Bahasa Melayu, Urdu, Farsi, Perancis, Cina, Turkiye, Rusia, Hausa dan Bengali.
“Selepas ini akan lebih dari itu (10 bahasa), kerana menjadi kewajipan kami di Haramain untuk menyampaikan kepada semua, setiap pengisian (mengenai) kebenaran, keadilan, kebajikan, kesederhanaan, toleransi, menolak ketaksuban dan kebencian dari tanah suci ini,” katanya dalam wawancara saluran televisyen Alekhbariya, Arab Saudi baru-baru ini.
Alekhbariya turut melaporkan khutbah Arafah akan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen televisyen dan radio tempatan selain tiga aplikasi pintar (Arafat, Haramain dan Manaret Haramain) serta portal jabatan berkenaan.
Untuk rekod, inisiatif terjemahan Khutbah Arafah telah dimulakan sekitar tahun 2018 dengan hanya lima bahasa: Inggeris, Perancis, Farsi, Bahasa Melayu dan Urdu.
Pada tahun kedua pelaksanaannya, bahasa Cina ditambah. Tahun 2021, sebanyak empat lagi bahasa dimasukkan. –TVS