KUCHING, 14 Jun : Kementerian Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat (MEITD), Majlis Penyelidikan Dan Pembangunan Sarawak (SRDC) dan Borneo Development Corporation Sdn. Bhd. (BDC) memeterai satu perjanjian untuk memastikan kejayaan pembinaan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC).
Susulan perjanjian itu, BDC dilantik sebagai Syarikat Pengurusan Projek (PMCo) bagi pusat berkenaan yang akan ditempatkan di Samarahan.
Majlis menandatangani Perjanjian Pengurusan Projek (PMA) berlangsung di pejabat MEITD, di Menara LCDA di sini hari ini.
Upacara menandatangi perjanjian disertai oleh Menteri MEITD, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Pengerusi BDC, Peter Nansian Ngusie dan Pengurus Besar SRDC, Dr Peter Morin Nissom.
Majlis perjanjian disaksikan oleh Setiausaha Tetap MEITD, Datu Kameri Affandi, Timbalan Pengurus Besar SRDC, Dr Ivan Yap Kok Seng dan Pengurus Besar BDC, Nor-E-Fadzwie Salleh.
Menurut kenyataan rasmi meskipun majlis formal perjanjian itu baharu sahaja dilaksanakan, namun kerja-kerja pembersihan tapak yang terletak bersebelahan Pusat Jantung Sarawak di Samarahan telah bermula pada tahun lepas.
Perjanjian berkenaan menggariskan komitmen ketiga-tiga pihak untuk bekerjasama dalam usaha mempercepatkan pembinaan SIDC dengan jangkaan ia dapat mula beroperasi menjelang akhir 2024. – TVS