KUCHING, 14 Jun : Lebih 50 000 penyokong yang ‘menghitam kuningkan’ Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara menyaksikan Malaysia mencipta sejarah layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit dalam tempoh 42 tahun.
Malaysia jelas mempamerkan kebangkitan apabila berpesta membelasah Bangladesh 4 -1 sekaligus menamatkan penantian panjang penyokong bola sepak tempatan selepas kali terakhir beraksi pada 2007 namun ketika itu Malaysia ‘mendapat slot’ atas kapasiti selaku tuan rumah.
Skuad bimbingan Kim Pan Gon yang kecewa ditumbangkan Bahrain dalam aksi kedua pada Sabtu lepas tampil berbeza malam ini apabila menguasai permainan sebaik sahaja wisel permainan ditiupkan.
Syafiq Ahmad memulakan malam gemilang Malaysia dengan percubaan berbahaya pada minit keenam namun bolanya terkena palang.
Ngauman skuad Harimau Malaya bermula pada minit ke-16 apabila Safawi Rasid tenang menyempurnakan sepakan penalti.
Begitupun skuad Bangladesh yang dibimbing Javier Cabrera secara tiba-tiba ‘bangkit’ untuk mengimbangi permainan menerusi jaringan Mohammad Ibrahim pada minit ke-31.
Tersentak dengan sorakan lebih 1,000 penyokong pelawat, Malaysia kembali memperkemaskan permainan dengan melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan yang dikawal oleh Anisur Rahman.
Hasilnya, pemain yang berpengkalan di Belgium, Dion Cools meledak gol kedua Malaysia berselang tujuh minit kemudian untuk kedudukan 2-1 sebelum memasuki bilik persalinan.
Semangat perjuangan terus disambung sebaik sahaja babak kedua bermula apabila Syafiq Ahmad menjaringkan gol ketiga pada minit ke-47 untuk melebarkan penguasaan Malaysia.
Pesta jaringan ditutup oleh Darren Lok dengan menjadikan kedudukan 4 -1 apabila tenang menyudahkan hantaran lintang Akhyar Rashid pada minit ke-73.
Tambahan masa tiga minit yang diberikan oleh pengadil tidak membawa makna kepada Bangladesh sebaliknya asakan Malaysia berterusan ke kawasan lawan.
Sejurus wisel penamat ditiupkan, pesta Malaysia bermula dengan nyanyian Inilah Barisan Kita , simbolik kepada tamatnya penantian panjang untuk menyaksikan Malaysia menyertai 23 pasukan lain pada kejohanan bola sepak tertinggi di Asia.
Kali terakhir Malaysia beraksi pada kejohanan itu secara merit ialah pada 1982. -TVS