KUCHING, 14 Jun: Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur dan Pusat Kajian Tadbir Urus dan Politik (Cent-GPS) mengadakan Bengkel Serantau Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) bagi menangani isu ketersambungan digital di luar bandar.
Pengerusi SDEC, Sudarnoto Osman berkata, meskipun cabaran utama adalah jurang digital di antara penduduk bandar dan luar bandar namun aspek sebenar yang perlu diketengahkan ialah literasi digital masyarakat luar bandar.
“Masalah sebenar ialah cara untuk menggunakan ketersambungan digital ini bagi menambah baik kehidupan masyarakat.
“Oleh itu, dalam memberikan perhatian terhadap agenda ini kami juga menitikberatkan perkara lain seperti pendidikan Sains, Teknologi dan Maklumat (STEM), pembangunan keusahawanan dan perniagaan digital”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian bengkel YSEALI di bawah Program International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2022 di sini hari ini.
Bengkel Ketersambungan Digital YSEALI telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak YB Dr Haji Hazland bin Abang Hipni, Pengerusi SDEC Sudarnoto Osman dan Kuasa Usaha Kedutaan A.S. Kuala Lumpur, Michael Newbill.
Senada dengan Sudarnoto, fasilitator bengkel YSEIL, Aimy Lee berkata selain ketersambungan digital, literasi digital juga merupakan aspek penting dalam pembangunan sesebuah negara.
Menurut Aimy institusi pengajian berperanan dalam menitikberatkan peri pentingnya literasi digital kepada pelajar-pelajar.
“Sekolah adalah antara pihak utama yang bertanggungjawab untuk mendidik anak muda tentang literasi digital ini agar mereka dapat mengakses teknologi digital,” katanya.
Sementara itu, bagi peserta bengkel yang pernah bekerja dalam sektor pendidikan, Pham Nguyen Dang Tuyen, program ini adalah untuk meningkatkan pengetahuannya mengenai ketersambungan digital untuk membantu pelajar-pelajar di luar bandar.
Peserta dari Vietnam itu berkata selepas pandemik COVID-19, impak ketersambungan digital terhadap kehidupan dan pendidikan anak-anak muda adalah besar dan secara langsung.
“Ketersambungan digital perlu disokong dengan tujuan pendidikan agar anak muda menggunakan kemudahan yang telah diusahakan dengan bernas.
“Ketersambungan digital perlu bergerak seiring dengan pendidikan kerana terlalu banyak maklumat palsu dan mengelirukan terutamanya di Vietnam.
“Ia akan menjadi panduan kepada pelajar kerana mereka mudah terpengaruh,” katanya.
Bengkel tersebut disertai oleh 100 peserta dari seluruh rantau ASEAN bagi memupuk perbincangan mengenai keterangkuman digital untuk spektrum meluas peranti dan pengguna, privasi dan keselamatan data serta pendigitalan ekonomi. -TVS