KUCHING, 13 Jun: Perkhidmatan bas ulang-alik dari Kuching ke Sarawak Cultural Village (SCV) akan disediakan untuk pengunjung Rainforest World Music Festival (RWMF) tahun ini yang bakal berlangsung dari 17 hingga 19 Jun 2022.
Perkhidmatan bas ulang-alik ini akan disediakan di kawasan tempat letak kereta Damai Central berhampiran SCV manakala pengunjung dari Kuching pula boleh menikmati perkhidmatan bas ini dari tiga pusat pengambilan iaitu di The Hills Shopping Mall, Riverside Majestic Hotel Astana Wing dan Plaza Merdeka.
Perkhidmatan bas untuk ke SCV akan mula beroperasi dari pukul 9.00 pagi hingga 8.00 malam manakala perkhidmatan bas dari tempat letak kereta Damai Central ke bandar pula akan bermula dari 9.30 pagi hingga 12.30 pagi.
Tiket untuk perkhidmatan bas ulang-alik berharga RM40 untuk perjalanan pergi balik untuk dewasa dan RM20 untuk kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun.
Orang ramai boleh membeli tiket bas ulang-alik di tiga tempat pengambilan yang telah disediakan.
Bagi pemegang tiket RWMF, perjalanan percuma turut disediakan setiap hari untuk jumlah yang terhad.
STB juga bekerjasama dengan Sarawak Metro Sdn Bhd untuk membawa pemegang tiket RWMF dari perhentian bas Riverside Majestic ke SCV melalui bas hidrogen mereka.
Orang ramai boleh menyemak maklumat terkini mengenai jadual bas Metro Sarawak ke festival itu dari laman web rasmi RWMF rwmf.net dan platform media sosial STB.
Bagi pengunjung festival yang memandu ke festival, perkhidmatan ulang-alik van on-loop ke RWMF 2022 dari pusat pemeriksaan T-Junction Santubong Resort ke SCV juga disediakan. Tiket berharga RM7 sehala untuk dewasa dan RM4 untuk kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun.
Perjalanan van dari Santubong Resort ke SCV adalah dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam, manakala perjalanan dari SCV ke Santubong Resort adalah antara 10.00 pagi hingga 12.30 pagi.
Pengunjung festival digalakkan untuk merancang perjalanan mereka, terutamanya pada waktu puncak antara 4.00 petang hingga 6.00 petang iaitu tempoh sebelum konsert bermula. -TVS