Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hampir 50 ribu tiket perlawanan Malaysia menentang Bangladesh malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil terjual. Foto Arkib Bernama.

50 ribu penyokong ‘serang’ Bukit Jalil untuk misi hidup mati Malaysia malam ini

KUALA LUMPUR, 14 Jun : Hari bekerja tidak menghalang orang ramai untuk hadir ke Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini lebih awal, bagi memberikan sokongan kepada pasukan bola sepak negara yang diambang mencipta sejarah layak ke Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon yang berada di ranking ke-154 dunia, akan menentang Bangladesh yang menghuni kedudukan ke-188 dunia, pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di sini yang dijadual berlangsung 9 malam ini.

Namun, setakat 6.30 petang, pekarangan gelanggang keramat Harimau Malaya sudah dibanjiri peminat tempatan berbeza latar belakang, yang rata-ratanya menggayakan jersi pasukan negara sekali gus membentuk lautan kuning dan hitam.

Kehadiran penyokong Bangladesh yang dapat dilihat berada di segenap pekarangan stadium ternyata menambah kemeriahan, apabila sorakan serta nyanyian mereka yang diiringi bunyi ‘vuvuzela’ merancakkan lagi suasana.

Dianggarkan hampir 50,000 penonton akan memenuhi stadium malam ini apabila sebanyak 44,340 tiket telah terjual setakat 6 petang tadi.

Selain gelagat peminat, perkarangan Stadium Nasional juga diserikan dengan pelbagai acara serta aktiviti yang menghiburkan penyokong, selain terdapat jualan yang turut menyemarakkan keadaan menjelang sepak mula.

Pintu pagar Stadium Nasional telah dibuka kepada penonton seawal satu lagi perlawanan Kumpulan E antara Bahrain dan Turkmenistan, yang bermula pada 5.15 petang.

Keadaan di Stesen LRT Bukit Jalil di sini pula mula sesak dengan ketibaan penyokong yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, namun masih terkawal.

Selepas dua aksi, Malaysia perlu menang malam ini untuk mencerahkan peluang meraih slot di Piala Asia 2023, sekali gus menamatkan penantian lebih 40 tahun layak secara merit ke kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 1980 di Kuwait.

Sementara ‘pintu’ ke Piala Asia 2023 buat Bangladesh sudah tertutup selepas tewas dalam dua perlawanan terdahulu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan