KUCHING, 13 Jun : Penonton maya penstriman dalam talian untuk Rainforest World Music Festival (RWMF) dan Borneo Jazz Fesrival (BJF) 2022 akan dapat memainkan peranan dalam menyelamatkan alam sekitar melalui ecoGreen, program penanaman yang dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak.
Lembaga Pelancongan Sarawak dalam kenyataannya menyebut menerusi inisiatif penghijauan ini, RM10 bagi setiap tiket berharga RM25 yang dijual akan disumbangkan untuk aktiviti penanaman pokok.
Penaja RWMF dan BJF juga menyumbang kepada inisiatif penanaman pokok ini dengan menaja 2,000 tumbuhan untuk program tersebut.
Inisiatif penghijauan yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, adalah sebahagian daripada agendanya untuk meningkatkan kesedaran tentang isu alam sekitar dan untuk menggalakkan amalan pelancongan yang bertanggungjawab terutamanya di kalangan pengunjung festival.
“Tahun ini, di tapak Perkampungan Budaya Sarawak Rainforest World Music Festival 2022, inisiatif mesra alam seperti strategi pengurusan sisa, pengkomposan makanan, serta usaha mengurangkan pelepasan karbon dan kitar semula bahan akan dijalankan.
“Sementara itu, WormingUp, perusahaan sosial yang berpangkalan di Kuching, akan mengumpul sisa makanan daripada festival itu untuk ditukar kepada bio-protein untuk baja dan makanan haiwan untuk petani tempatan.” katanya.
Seperti yang telah dilaksanakan semasa festival sebelum ini, bas ulang-alik akan membawa pengunjung festival dari pusat bandar dan dari lokasi berdekatan ke kawasan festival untuk mengurangkan pelepasan karbon dan untuk mengelakkan kesesakan di tapak venue.
Untuk Borneo Jazz 2022, projek pemasangan Eco-Art akan dianjurkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri dan MYY Living Arts.
Projek tersebut merupakan sebahagian daripada festival Borneo Jazz ‘Pelancongan Bertanggungjawab’ program untuk mengubah Miri kepada bandar yang mampan dan mesra alam.
“Usaha ini dilakukan bersama-sama dengan pelbagai pertubuhan berasaskan alam sekitar dan Lembaga Pelancongan Sarawak akan meneruskan usaha untuk menjadikan acara tersebut sebagai contoh dalam amalan lestari dan menjadikan sisa sifar menjadi kenyataan.” kata kenyataan itu lagi. -TVS