BINTANGOR, 13 Jun : Seorang lelaki ditemui maut berhampiran motosikalnya dipercayai selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tulai, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitenden Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Jackson Ajek, 29, yang beralamat di Kanowit dan menunggang motosikal jenis Honda Wave dan dipercayai bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.
Katanya, insiden kira-kira 10.40 malam dipercayai berlaku ketika kereta itu dalam perjalanan dari arah Bintangor menghala ke Sibu.
“Sebaik sampai di Jalan Tulai, pemandu yang berusia 35 tahun itu mendakwa merasa satu hentakan ketika melalui jalan tersebut namun hanya memberhentikannya kenderaannya kira-kira 450 meter selepas melihat asap keluar dari bonet hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sejurus itu kata Sekam, pemandu berkenaan mendapat bantuan penarik kereta untuk membawa kereta terbabit ke Sibu tanpa mengetahui telah berlaku kemalangan melibatkan kenderaannya.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sarikei sebagai tindakan lanjut dan kes masih dalam siasatan, diklasifikasi dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS