KUCHING, 13 Jun : Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Yayasan Sarawak, Sarawak Multimedia Authority (SMA), Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE) dan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah melancarkan Simposium Antarabangsa Mengenai Digital secara rasmi pada 7 Jun lepas.
Pelancaran Simposium Antarabangsa tersebut telah dilakukan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Simposium tersebut yang berlangsung di ibu pejabat CENTEXS di Kuching turut akan diadakan di lima cawangan CENTEXS di seluruh Sarawak di Lundu, Dalat, Lawas, Betong, dan Mukah dari 23 Mei hingga 30 Jun 2022.
Objektif utama simposium ini adalah untuk menyediakan platform bagi memajukan bidang sains dan teknologi ke arah transformasi industri digital.
Simposium ini juga diharap akan dapat mewujudkan ruang untuk berkongsi kemajuan berkaitan dalam sains dan teknologi dalam semua aspek transformasi industri digital.
CENTEXS komited untuk menyokong wawasan Sarawak 2030 kerajaan negeri melalui kerjasama strategik dengan rakan kongsi dan pemain industri. -TVS