BAU, 12 Jun : Kerajaan Sarawak mengumumkan penubuhan agensi baharu iaitu Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) untuk mengawal selia dan membangunkan kawasan Bidayuh bermula dari Bau sehingga ke Serian.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, GKCDA akan memberi tumpuan pembangunan secara terperinci bagi merealisasikan hasrat pembangunan masyarakat berkenaan.
Katanya keputusan menubuhkan Greater Kuching dibuat selepas beliau menimbangkan permintaan wakil rakyat Bidayuh dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru – baru ini yang memohon supaya perhatian diberikan untuk membangunkan kawasan mereka.
“Oleh itu, saya hari ini mengumumkan penubuhkan Greater Kuching, kita akan kaji bagaimana agensi ini akan berfungsi.
“Saya juga akan berbincang dengan pemimpin Bidayuh berkenaan rangka kerja dan perkara lain yang diperlukan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Gawai 2022 di Dewan Suarah Bau di sini, hari ini.
Abang Johari turut menjelaskan, agensi baharu ini adalah selaras dengan strategi kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembangunan di Sarawak yang sangat luas.
Dalam sidang DUN Sarawak baru-baru ini, empat wakil rakyat Bidayuh menyeru supaya kerajaan sarawak untuk menubuhkan sebuah agensi bagi merangsang aktiviti ekonomi masyarakat Bidayuh terutamanya di kawasan di sempadan Sarawak dengan Indonesia
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh, Adun Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, Adun Bukit Semuja , John Ilus dan Adun Opar , Billy Sujang . -TVS