KUCHING, 12 Jun : Wakil Malaysia, Sandra Lim mencipta sejarah tersendiri setelah memenangi tempat kedua dalam pertandingan Miss Global 2022 yang berlangsung di Bali, Indonesia semalam.
Menerusi perkongsian di media sosialnya, gadis berusia 21 tahun dari Kuala Lumpur itu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberi sokongan padu kepadanya.
“Saya harap anda semua berbangga dengan pencapaian ini kerana saya telah melakukan yang terbaik sepanjang lebih seminggu pertandingan,”katanya menerusi Instagram.
Wakil Filipina, Shane Tormes dinobatkan sebagai Miss Global 2022 manakala peserta Australia di tempat ketiga.
Wakil Brazil dan Lithuania turut menduduki lima tempat teratas pada pertandingan yang disertai oleh 74 negara itu.
Sandra yang juga bekas atlet sukan seni bela diri negara berjaya memikat hati juri dengan persalinan berwarna jingga dan hitam yang menggambarkan Harimau Malaya.
Ketika peringkat separuh akhir, Sandra ditanya personaliti wanita yang menjadi idolanya dan tanpa ragu dia menjawab Tan Sri Michelle Yeoh.
“Seperti saya, dia juga merupakan ahli sukan mempertahankan diri dan juga bekas Miss Malaysia.
“Beliau telah memberi inspirasi kepada saya dalam banyak aspek dan dia percaya apa yang saya percaya iaitu kita harus membawa tinggi kuasa wanita,”katanya.
Sebelum ini, Sandra pernah mewakili negara selama 10 tahun sebagai atlet sebelum bergiat aktif sebagai model. -TVS