KUCHING, 12 Jun : Petinju tunggal Malaysia yang beraksi pada Kejohanan Tinju Profesional Pakistan, Daeloniel McDelon mengharumkan nama negara apabila muncul juara kategori 57 kilogram (kg) pada Sabtu.
Lebih membanggakan, anak kelahiran Sri Aman, Sarawak itu berjaya menewaskan petinju tuan rumah, Sikender Abbasi menerusi pukulan technical knock out (TKO).
Daeloniel yang dikenali dengan jolokan Kilat Boy ketika ditemui TVS sebelum berlepas ke negara berkenaan memberitahu, dia akan memberi tentangan terbaik pada kejohanan berkenaan untuk memartabatkan sukan tinju negara.
Tambah pemuda kacukan Cina dan Iban itu, dia melakukan persiapan rapi untuk kejohanan antarabangsa pertamanya memandangkan akan bertemu Sikendar Abbasi yang memiliki rekod cemerlang sepanjang karier.
Daeloniel pernah memenangi pingat emas di Kejohanan Tinju Zon Borneo 2015, pingat emas di Kejohanan Tinju Profesional Jakarta 2016, pingat emas di Kejohanan Tinju Profesional Mayor Cup Johor 2018, pingat emas di Kejohanan Tinju Kebangsaan Piala Malaysia Edisi 2019-2021 dan pingat emas di Kejohanan Tinju Piala Menteri Belia dan Sukan pada tahun ini.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Lalak Jan turut menampil peserta dari Indonesia, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan Nigeria. -TVS