KUALA NERUS, 11 Jun: Jenazah dua beradik dan sepupu mereka yang lemas selepas berkelah di Sungai Lata Changkah, Ulu Seladang di Setiu petang semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad awal pagi tadi.
Jenazah Syariatul Nurfatihah Mohd Dera, 28, dan adiknya Syariatul Noor Syafiqa, 26, serta sepupu mereka Siti Aisyah Mazalan, 19, tiba di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Maras dekat Batu Rakit di sini pada 3.23 pagi dan selamat dikebumikan kira-kira 4 pagi.
Baca > > > Tiga saudara lemas ketika berkelah di Sungai Lata Changkah
Ibu kedua-dua beradik itu Sarimah Awang, 62, berkata meskipun terkejut dengan kehilangan serentak anak ketiga dan anak keempat yang juga anak bongsunya itu, beliau reda dengan ujian tersebut.
“Memang makcik tidak tahu hendak kata apa lagi. Tetapi inilah ujian yang Allah berikan makcik harus terima,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu malam tadi.
Sarimah berkata ketika kejadian beliau yang turut sama berkelah dengan beberapa ahli keluarga terlebih dahulu pulang ke rumah di Kampung Hilir Maras dekat Batu Rakit di sini untuk menidurkan cucunya, sebelum menerima panggilan daripada seorang individu yang menyuruhnya menghubungi pihak bomba.
“Sejurus sampai sahaja di rumah ada orang telefon suruh makcik hubungi bomba. Makcik ingatkan ada kebakaran tetapi rupanya anak-anak makcik dan anak saudara lemas.
“Semasa kejadian siapa yang jatuh dahulu makcik tidak tahu kerana telah pulang tetapi difahamkan anak sulung makcik (Syariatul Syafira, 32) juga ingin tolong mereka tetapi dia pun hampir lemas. Mujur dia sempat diselamatkan dan kini sedang terima rawatan di wad,” katanya.
Katanya kedua-dua anaknya serta sepupu mereka Siti Aisyah sememangnya rapat sejak kecil dan sering menghabiskan waktu bersama.
Sarimah berkata telatah Syariatul Nurfatihah dan Syariatul Noor Syafiqa yang sangat akrab dan sering bergurau senda itu akan pasti dirinduinya nanti.
Beliau berkata mereka sekeluarga sering berkunjung ke Sungai Lata Changkah namun semalam merupakan kali pertama mereka berkelah di lokasi kejadian yang agak jauh ke dalam kerana ramai pengunjung.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Affandi Hussin dalam kenyataan semalam berkata difahamkan kejadian berlaku apabila kesemua mangsa telah hampir selesai berkelah bersama keluarga pada sekitar 2.30 petang, sebelum salah seorang mereka tergelincir lalu jatuh serta menarik bersamanya dua lagi mangsa.
Affandi berkata ketiga-tiga mangsa cuba diselamatkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Setiu, namun pihak hospital mengesahkan mereka telah meninggal dunia. – TVS