KUCHING, 10 Jun : Daerah Sematan dilihat berpotensi untuk menjadi ‘Teluk Marina Sarawak’ kerana faktor geografi selain mempunyai keistimewaan yang menjadi daya tarikan pelancong terutamanya kepada pemancing.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, keluasan kawasannya serta memiliki spesies unik perlu dimanfaatkan seperti yang dilakukan oleh beberapa negara maju.
“Di sini terdapat banyak ikan laut dalam, sotong dan sebagainya yang menjadi buruan kaki pancing.
“Hari ini kita dimaklumkan terdapat 30 buah bot yang dimiliki pengusaha tempatan telah disewakan kepada para pemancing untuk melakukan aktiviti berkenaan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Joran Tanjung Datu Tok Nan Open Sea Competition 2022 di Sematan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Pehin Adenan.
Pertandingan berkenaan yang kali pertama diadakan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk mempromosi Sematan sebagai salah satu destinasi pelancongan di Sarawak.
Dalam pada itu, Gerald Rentap berkata, sektor berkenaan sangat berpotensi untuk dimajukan seperti di Teluk Marina, Australia yang terkenal dengan daya tarikan pelancongnya serupa.
“Ini jika dimanfaatkan sebaiknya akan mampu menghasilkan pendapatan kepada negeri mahupun negara,”katanya. -TVS