PETALING JAYA, 10 Jun : Pemain pertahanan negara Ahmad Khuzaimi Piee berkata skuad Harimau Malaya akan berusaha melebihi 100 peratus untuk memburu mata menentang Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia 2023, malam esok.
Beliau berkata tidak kira siapa yang akan diturunkan pada aksi di Stadium Nasional di Bukit Jalil itu, setiap pemain yang kini sedang bersemangat perlu menanam azam untuk memberikan segalanya tanpa rasa gentar, biarpun Bahrain merupakan pasukan lebih baik berdasarkan ranking dunia.
Katanya pasukan negara juga perlu meneruskan permainan berpasukan yang baik, seperti ditampilkan ketika menewaskan Turkmenistan 3-1 pada aksi pembukaan kumpulan Rabu lepas, jika ingin meraih keputusan positif.
Baca > > > Bola sepak : Malaysia benam Turkmenistan 3-1
“Bagi kami setiap perlawanan akan ada rasa tekanan, apa kami cuba buat adalah tidak memikirkan apa-apa perkara yang boleh jatuhkan motivasi kami, sebab kita tahu tiada apa yang mustahil. Insya-Allah kami akan berikan terbaik nanti.
“Kita tahu Bahrain mempunyai pemain yang bagus, kita tidak boleh ambil mudah sebab kita ada pengalaman bermain dengan pasukan yang ranking lebih tinggi, jadi bagi saya tak mustahil dan kami cuba dapatkan keputusan positif,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.
Dalam kedudukan ranking dunia, Malaysia berada jauh di kedudukan ke-154 berbanding Bahrain ke-89.
Sementara itu, pemain Negeri Sembilan FC itu yang sekadar memanaskan bangku simpanan pada aksi menentang Turkmenistan berkata beliau teruja untuk membuat penampilan pada kempen kelayakan itu, dalam usaha membuktikan kemampuannya.
Sebagai rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan Mei tahun lepas menyaksikan skuad tuan rumah yang diberi jolokan ‘Dilmun’s Warriors’ menang 2-0 ke atas Malaysia, yang ketika itu dibimbing bekas ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.
Malaysia dan Bahrain memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan cemerlang, selepas menewaskan lawan masing-masing, Turkmenistan 3-1 dan Bangladesh 2-0 Rabu lepas, sekali gus berkongsi tiga mata di tangga teratas Kumpulan E.
Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023, dengan penampilan terakhir Malaysia dalam kejohanan berprestij itu pada 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah lebih 40 tahun skuad negara gagal mara secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait. – TVS