KUCHING, 10 Jun: Jawatankuasa Khas Mengkaji Hukuman Alternatif untuk Hukuman Mati Mandatori menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan hukuman itu dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Ahli jawatankuasanya, Edmund Bon Tai Soon berkata, ini kerana sehingga kini terdapat lebih 1,000 banduan yang sedang menunggu hukuman mati.
Katanya, jawatankuasa berkenaan telah lama berjuang untuk memansuhkan hukuman mati.
“Ini adalah langkah pertama untuk tidak mewajibkan (hukuman mati) supaya hakim mengekalkan budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas.
Sementara itu, peguam bela, Shankar Ram Asnani pula yang menyifatkan tindakan tersebut satu langkah yang tepat.
Sambil menyambut baik keputusan berkenaan, beliau menjelaskan banyak faktor lain perlu dipertimbangkan berdasarkan beberapa kes terdahulu.
“Ini termasuk kes yang melibatkan seorang wanita warga asing baru-baru ini yang dijatuhkan hukuman mati mandatori akibat dadah namun Mahkamah Persekutuan mengurangkan hukumannya dengan mengambil kira faktor usia dan kesihatannya,”katanya.
Bagaimanapun Shankar Ram berpendapat, adalah wajar untuk mengekalkan hukuman mati mandatori bagi kes yang melibatkan kekejaman berat.
“Namun ia bergantung kepada budi bicara hakim sama ada wajar atau sebaliknya untuk kekalkan hukuman mati,” tegasnya.-TVS