BINTULU, 10 Jun : Sebanyak 14,000 permohonan pekerja asing telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan untuk sektor pembinaan.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, berkata, bagi memacu kembali pertumbuhan sektor berkenaan, Malaysia baru-baru ini telah memeterai perjanjian dengan Bangladesh dan Indonesia.
Bagaimanapun katanya, ketika ini kemasukan pekerja-pekerja berkenaan masih belum terlaksana.
“Salah satu faktor mungkin kerana di Indonesia sekarang banyak peluang pekerjaan baharu kerana mereka mempunyai banyak program sekaligus menyebabkan tidak ramai pekerja dari sana masuk,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program FTRoadpedia Sarawak di Lapangan Terbang Bintulu di sini, hari ini.
Justeru, katanya ia merupakan cabaran yang perlu diatasi oleh kerajaan bagi memastikan projek pembinaan di negara ini tidak tergendala.
Sementara itu, mengenai projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, Fadillah berkata, pihaknya akan memperbaiki sistem keselamatan susulan maklum balas daripada pemimpin setempat.
“Ada teguran dari wakil rakyat dan pemimpin setempat mengenai papan tanda arah, amaran dan lampu pemantul pada waktu malam yang tidak begitu jelas.
“Ini perlu diperbaiki untuk pastikan pemandu tahu di mana ada persimpangan,”katanya. –TVS