KUALA LUMPUR, 9 Jun: Pemain sayap lincah, Mohamad Faisal Abdul Halim tidak menjangka Malaysia mudah mendapat jaringan awal dalam kemenangan 3-1 ke atas Turkmenistan pada perlawanan Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam tadi.
Mohamad Faizal yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan berkata pada aksi itu pasukan negara bukan sahaja tidak berdepan masalah merobek gawang lawan dalam tempoh 20 minit pertama, malah turut berjaya mendominasi permainan dari awal sehingga ke wisel penamat.
“Hari ini (malam tadi) serba menjadi, apa yang boleh dikatakan semua yang kita buat menjadi…saya memang tak sangka rakan sepasukan dapat menjayakan perancangan jurulatih dengan baik malam ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.
Pada aksi malam tadi, pemain Terengganu FC itu mencuri tumpuan apabila menjadi salah seorang penjaring menerusi gol pada minit ke-16 selain Muhammad Safawi Rasid (minit ke-11), Corbin Ong (minit ke-45) dan penjaring tunggal Turkmenistan Altymyrat Annadurdyyev pada minit ke-38.
Jaringan tersebut adalah gol pertama pemain berusia 24 tahun itu bersama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.
Mohamad Faizal berkata beliau juga tidak menjangka berpeluang meledak jaringan sulungnya itu di laman sendiri sambil disaksikan lebih 21,000 penonton yang hadir ke stadium, sekali gus menganggap pertembungan dengan Turkmenistan merupakan aksi terbaiknya.
Beliau bagaimanapun enggan mendabik dada dan mengakui semua pihak termasuk pemain dan jurulatih telah memainkan peranan masing-masing dengan baik dalam memastikan kejayaan Skuad Harimau Malaya.
“Sebenarnya perkara ini datang daripada semua pihak bukan hanya seorang pemain, semua perlu jalankan tanggungjawab masing-masing.
“Saya bangga dengan rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan kerana kerja keras selama ini membantu kejayaan kita malam ini,” katanya.
Malaysia akan meneruskan saingan bertemu pasukan pilihan Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E di Stadium Nasional Sabtu ini dengan sasaran membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 dengan Malaysia kali terakhir beraksi di kejohanan berprestij itu pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah lebih 40 tahun gagal mara secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait. -TVS