SRI AMAN, 9 Jun : Masalah kekurangan pekerja dikenal pasti sebagai antara punca utama yang menyebabkan projek Lebuh Raya Pan Borneo lambat siap.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, ketika ini pihaknya mendapati terdapat kontraktor projek berkenaan yang hanya memiliki kapasiti pekerja sebanyak 70 peratus sahaja.
Selain itu ujar beliau, masalah kekurangan bahan mentah serta kenaikan harga barang – barang binaan turut menyumbang kepada kelewatan projek.
“Di sebalik masalah – masalah yang dihadapi, projek ini mencapai kemajuan sebanyak 85 peratus,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyertai Jelajah FTROADPEDIA Kementerian Kerja Raya hari pertama di sini hari ini.
Bagi mengatasi masalah itu, Fadillah berkata, Kementerian Kerja Raya akan mencari jalan untuk membantu para kontraktor supaya projek berkenaan tidak terus dibelenggu isu lambat siap.
“Ini menjadi cabaran dan kita sudah pun mengenal pasti bagaimana untuk mengatasi masalah ini.
“Ketika ini kementerian saya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan penyelesaian bagi menangani kenaikan kos material,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, beliau berharap keputusan kerajaan untuk menampung kenaikan kos yang ditanggung oleh kontraktor akan dapat mengurangkan bebanan dan kembali merancakkan pembinaan.
“Ini seteruskan akan dapat membantu menyiapkan projek-projek khususnya bagi kontraktor yang menghadapi cash-flow untuk membeli barang dan sebagainya,”katanya
Sementara itu, mengenai jalan ‘redline’ yang melibatkan projek itu, beliau memberitahu, kerja-kerja penambahbaikan sudah mencapai 80 peratus termasuk empat jejambat. -TVS