KOTA KINABALU, 9 Jun : Isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang mengetuai kunjungan hormat delegasi Sarawak bertemu isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M di Istana Seri Kinabalu hari ini.
Kunjungan berkenaan diadakan sempena lawatan rasmi Juma’ani ke Sabah selama dua hari sehingga esok.
Turut mengiringi Juma’ani ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier, Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Perhubungan Negeri Persekutuan, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Sharifah Hasidah berkata, kunjungan itu antara lain bertujuan bagi mengeratkan hubungan antara Sarawak dan Sabah dan seterusnya merintis kerjasama membabitkan kedua negeri itu pada masa hadapan.
Katanya, pertemuan itu juga bertujuan untuk menjemput Toh Puan Norlidah melakukan kunjungan balas ke Sarawak.
“Kita berharap agar Toh Puan sudi melawat Sarawak dan bersama berkongsi idea serta pengalaman berkaitan warisan songket dan keringkam yang kita laksanakan di Sarawak,”katanya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Dr Sabariah Putit, Pengerusi Sarawak Media Group, Dato Norhayati Ismail. -TVS