SANDAKAN, 8 Jun : Tiga lelaki termasuk seorang warga asing yang dipercayai terlibat dengan kegiatan menyeludup minyak petrol bersubsidi ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).
Komandernya, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Rani Alias berkata, dua daripadanya merupakan rakyat tempatan yang masing-masing berumur 36 dan 19 tahun manakala seorang lagi lelaki warga Indonesia berumur 19 tahun.
Katanya, mereka ditahan oleh Tiger Platoon dan Unit Task Force Batalion 15 PGA Sandakan hasil maklumat orang awam di sebuah stesen minyak pam di Batu 32, Sandakan pada pukul 1.30 pagi semalam.
“Sepasukan pegawai polis telah melakukan pemerhatian selama setengah jam di stesen minyak itu sebelum kesemua suspek ditahan,”katanya menerusi kenyataan media.
Katanya, PGA berjaya merampas 58 tong mengandungi 4,400 liter minyak petrol di bahagian belakang dua buah lori yang digunakan.
“Nilai rampasan minyak petrol dan dua buah lori adalah dianggarkan RM109,020.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sandakan dan diserahkan kepada pihak pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. -TVS