Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Walaupun mangsa keganasan rumah tangga sering dikaitkan dengan wanita dan kanak-kanak namun kaum lelaki yang menjadi mangsa penderaan juga dilindungi undang-undang di negara ini, kata pakar undang-undang.

Kaum lelaki mangsa keganasan rumah tangga dilindungi undang-undang

KUALA LUMPUR, 8 Jun : Walaupun mangsa keganasan rumah tangga sering dikaitkan dengan wanita dan kanak-kanak namun kaum lelaki yang menjadi mangsa penderaan juga dilindungi undang-undang di negara ini, kata pakar undang-undang.

Pensyarah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata sesiapapun mangsa keganasan rumah tangga tidak kira wanita atau lelaki mempunyai hak untuk dilindungi seperti termaktub dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521].

“Kalau kita lihat definisi mangsa dalam Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 [Akta 521], jelas menunjukkan akta ini tidak membezakan mangsa keganasan melalui jantina.

“Malah, kalau kita lihat dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 pun, menjamin kesamarataan seperti yang termaktub dalam Perkara 8 (1) yang menyatakan semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata, tidak kira lelaki mahupun perempuan.

“Dalam Perkara 8 (2) juga menyatakan tidak boleh ada diskriminasi dalam undang-undang termasuk jantina. Ini sangat jelas, lelaki juga mempunyai hak untuk dilindungi daripada keganasan rumah tangga,” katanya ketika menjadi tetamu program Koresponden Bernama terbitan Bernama TV bertajuk ‘Keganasan Rumah Tangga: Hak Kaum Lelaki’ hari ini.

Khairil Azmin bagaimanapun berkata statistik lelaki yang membuat laporan mengenai keganasan rumah tangga sangat rendah berbanding mangsa keganasan rumah tangga yang lain.

Katanya sebagai contoh, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, daripada 254  kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di Selangor dari Januari sehingga September 2020, hanya 30 orang mangsa lelaki tampil membuat laporan.

Menurutnya beliau percaya jumlah sebenar lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga adalah lebih daripada apa yang dilaporkan itu namun mangsa mungkin hanya berdiam diri dan tidak membuat laporan kepada pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu.

“Ada banyak faktor mengapa kaum lelaki ini, tidak tampil melaporkan kepada pihak berkuasa mereka menjadi mangsa keganasan. Antara faktor utama ialah melibatkan maruah diri atau keluarga kerana stigma dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling andai mereka melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Seterusnya, ada juga lelaki yang bergantung kepada pasangan. Oleh itu, mereka takut membuat laporan mereka menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Tidak kurang juga ada yang memberi alasan yang mereka masih sayang pada pasangan dan berharap pasangan mereka akan berubah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairil Azmin menasihatkan lelaki yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga supaya mengetepikan sikap ego untuk membuat laporan kerana takut dianggap lemah dan jangan salahkan diri sendiri kerana tidak semua keganasan yang berlaku berpunca daripada diri mereka sendiri. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan