KUCHING, 7 Jun : Lukisan mural terbesar bertemakan Sarawak merupakan antara elemen yang mampu merancakkan semula sektor pelancongan di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan menyifatkan lukisan sepanjang 181 meter tersebut menceritakan keharmonian dan kemajmukan Sarawak secara keseluruhannya.
Mural yang dipamerkan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching itu disiapkan peserta dari beberapa Universiti dan pelukis tempatan.
“Terkenal dengan taman negara dan biodiversiti yang hebat, Sarawak juga terkenal dengan identiti kesenian dan budayanya yang unik yang mana mempunyai kepelbagaian menakjubkan seperti budaya, makanan dan alam semula jadi. Selainitu, festival-festival yang ada di Sarawak turut menjadi inspirasi seni mural berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan dan penghargaan kepada peserta yang terlibat dalam menyiapkan lukisan mural terbesar itu.
Pada majlis sama, beliau turut menerima sijil Malaysia Book Of Record yang disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysia Book Of Record, Christopher Wong.
Mural berkenaan yang mempunyai lima elemen utama Sarawak seperti kebudayaan, pengembaraan, alam semula jadi dan makanan itu telah mula dilukis pada Februari 2022 di kampus masing-masing sebagai langkah mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan peserta. – TVS