MELAKA, 7 Jun : Seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan kematian pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) di Jalan Serkam Pantai, Merlimau, Jasin semalam, ditahan reman empat hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap operator kilang berusia 24 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nabihah Mohd Noor di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini.
Dalam kejadian pada 7.45 pagi itu, pemuda itu yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk telah merempuh motosikal yang dinaiki mangsa Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 48.
Seorang penunggang motosikal Ya’akob Mohamad, 57, turut mengalami cedera ringan
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. –TVS