KUCHING, 7 Jun : Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bekalan telur dan ayam di Sarawak mencukupi.
Malah, katanya, Sarawak turut memiliki lebihan bekalan untuk kedua-dua produk berkenaan.
“Saya dimaklumkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang mana bekalan kita seperti ayam dan telur memang lebih dari cukup.
“Tetapi mungkin bahan-bahan makanan yang lain, yang diimport mengalami sedikit masalah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Antarabangsa berkaitan Transformasi Industri Digital anjuran Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, antara usaha kerajaan negeri dalam mengukuhkan bekalan makanan di Sarawak adalah dengan memproses sendiri bahan-bahan makanan bagi memastikan rantaian keselamatan makanan terjamin. – TVS