SANDAKAN, 5 Jun : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 berjaya menahan dua bot yang disyaki membawa barang kawalan tanpa permit di kawasan pesisir pantai Kampung Bakau lewat tengahari Sabtu.
Pegawai PPM Wilayah 4 Sandakan, DSP Rusdi Banin berkata pihaknya telah menahan bot tersebut dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan itu.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bot itu membawa barang kawalan iaitu beberapa jeriken petrol dan minyak masak.
“Nilai rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan berjumlah RM44,757.50. Semua barang rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambahnya satu kertas siasatan akan dibuka bagi kes itu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, komuniti maritim dan persisir pantai disaran untuk menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah 4 Sabah melalui aplikasi WhatsApp di talian 0139391197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai berdekatan. -TVS