MIRI, 4 Jun : Seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar bandar raya ini ditahan polis kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, suspek berusia awal 20-an itu ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Unit Peronda dan Sukarelawan Polis Miri dalam Op Gawai dan Op Kesan di kawasan Pusat Komersial Morsjaya.
Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap suspek turut menemui  beberapa peralatan yang diubahsuai.
“Polis percaya peralatan yang dirampas digunakan untuk aktiviti jenayah pecah rumah di kawasan ini,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, suspek dan barang rampasan telah direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Alexson Naga berkata, Op Gawai dan Op Kesan yang dilancarkan mencapai matlamat apabila orang awam turut memberi kerjasama dalam usaha membanteras jenayah di daerah ini. -TVS