SIBU, 4 Jun :Â Panahan petir dipercayai menjadi punca kebakaran yang menyebabkan 20 tapak kubur di Jalan Chukan, Sibu mengalami kerosakan pada minggu lepas.
Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Chambai Lindong berkata, kejadian petir pada 30 Mei lepas telah mencetuskan kebakaran di kawasan belukar berhampiran kawasan perkuburan berkenaan.
“Kejadian itu disedari oleh orang awam yang memaklumkan kepada dua penjaga tanah perkuburan.
“Naib Pengerusi SDNU Sibu, Johnady Janton kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 11.47 pagi semalam,”katanya menerusi kenyataan media.
Sehubungan itu, Chambai memohon orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang dikebumikan di tanah perkuburan itu segera tampil untuk membuat pengesahan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Timbalan Penguasa Bomba II, Abdul Mutalif Ja’afar memberitahu, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran belukar itu pada pukul 9.53 pagi Selasa lepas.
Katanya, setiba di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran belukar itu menyebabkan dua pokok besar tumbang.
“Api kemudian berjaya dikawal pada 10.11 pagi dan operasi pemadaman tamat pada 10.43 pagi,” katanya.-TVS