KOTA KINABALU, 4 Jun : Music Rights Sabah Berhad (MRS) yang menjadi badan pelesenan muzik yang diiktiraf kerajaan pada awal tahun ini, akan memberi pembelaan sewajarnya kepada hak penggiat seni tempatan di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Sehubungan itu, beliau berharap agar penggiat seni di Sabah akan terus berkarya baik dalam bidang muzik mahupun sebagai penyanyi.
“Penubuhan MRS pada Januari lepas, tepat pada masanya untuk memberi pembelaan sewajarnya kepada artis-artis tempatan Sabah. MRS secara rasmi menjadi badan pelesenan muzik yang diiktiraf kerajaan bagi menjaga kebajikan artis tempatan dalam industri muzik di negeri ini.
“Badan ini diiktiraf untuk menjalankan aktiviti kutipan royalti mewakili penyanyi, pemuzik, pembuat video muzik dan syarikat rakaman tempatan membabitkan etnik di negeri ini,” katanya di sini malam ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program RIUH Bah! Bersama Hotlink di pekarangan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini malam ini yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Mengulas lanjut, Hajiji berkata dengan adanya badan MRS, ia akan menggalakkan penggiat seni tempatan terus berkarya dan memartabatkan industri muzik tempatan di negeri ini.
“Tiada istilah lambat dalam hal ini (mengiktiraf hak-hak anak seni di Sabah baik penyanyi ataupun pemuzik) kerana kita sentiasa bergerak ke hadapan dan mencari kaedah terbaik untuk melindungi mereka,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan Hajiji berkata program selama tiga hari itu pasti akan menjadi medan untuk merancakkan lagi industri kreatif di Sabah, sekali gus memberikan manfaat kepada komuniti setempat serta rakyat secara keseluruhannya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar persatuan daripada pelbagai etnik di Sabah terus memperkasa seni budaya, adat resam dan bahasa masing-masing agar tidak hanyut dengan kepesatan arus globalisasi.
“Hal ini penting agar kepelbagaian budaya di negeri ini terus diperkukuh dan tidak dipinggirkan oleh kemodenan dan kemajuan teknologi. Kita tidak boleh biarkan mana-mana etnik itu pupus begitu sahaja tanpa mengetahui kewujudannya.
“Saya percaya masih banyak lagi budaya dari segi tarian dan muzik pelbagai etnik di negeri ini yang masih belum diterokai untuk diketengahkan,” katanya. –TVS