Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus mengimbangkan antara sumber bekalan makanan yang diimport dari luar negara dan pengeluaran negara, bagi memastikan semua komoditi utama mencukupi untuk keperluan rakyat di negara ini.

MAFI akan pastikan sumber bekalan makanan import, keluaran negara seimbang

KUALA LUMPUR, 4 Jun : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan terus mengimbangkan antara sumber bekalan makanan yang diimport dari luar negara dan pengeluaran negara, bagi memastikan semua komoditi utama mencukupi untuk keperluan rakyat di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan secara berterusan mendapati, tiada perubahan ketara direkodkan terhadap aspek bekalan makanan.

“Walaupun di luar (situasi semasa) terdapat pelbagai gangguan, namun disebabkan kelebihan yang ada pada kita (Malaysia) iaitu sumber dalaman dan diimport, jadi kita akan cuba imbangkan bekalan mengikut keperluan rakyat.

“Sejak akhir ini ada beberapa faktor yang mengganggu bekalan atau pengeluaran, misalnya kenaikan kos import baja, racun dan lain-lain. Itu fakta yang tidak boleh disangkal kerana di luar negara juga berlaku, kerana ia faktor yang sukar dikawal,” katanya ketika menjadi panel jemputan program Ruang Bicara Bahas terbitan Bernama TV yang disiarkan secara langsung, malam tadi.

Program yang membincangkan tajuk ‘Sekuriti Makanan Negara: Pelan Tindakan dan Penguatkuasaan’ turut menampilkan panel jemputan lain iaitu Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman Adam.

Selain itu, Badrul Hisham berkata kesan daripada pandemik COVID-19 juga, sedikit sebanyak telah mengubah landskap perniagaan dunia sekali gus turut mengganggu sumber utama bekalan makanan negara.

Katanya walaupun beberapa faktor itu ada memberi kesan kepada industri makanan dan ekonomi negara, namun MAFI tetap dengan pendirian bahawa tidak berlaku gangguan yang besar dari segi aspek bekalan makanan dan perkara itu telah dijelaskan kepada kerajaan.

“… ada laporan oleh media mengatakan bahawa ada komoditi tertentu tidak mencukupi di pasaran, contohnya ayam. Berdasarkan pemantauan kita tidak berlaku pengurangan yang ketara, pola (bekalan makanan) kita masih sama.

“Tetapi terdapat satu atau dua ladang yang terpaksa membuat sedikit pelarasaan kepada pengeluaran disebabkan beberapa perkara yang melibatkan aspek teknikal, dan perkara itu wajar dan perlu mereka lakukan. Mereka sudah memberikan notifikasi kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan KPDNHEP.

“Kita sudah bersedia dengan langkah-langkah tertentu untuk kita memastikan gangguan itu tidak memberikan kesan besar kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi, KPDNHEP akan mendapatkan status keberadaan bekalan makanan setiap hari, dengan mengambil data daripada pemborong dan kilang di seluruh negara.

“Tetapi dalam proses tersebut, kadang-kadang terdapat gangguan atau faktor di luar jangka, contohnya barang atau bahan yang diimport tersebut tidak sampai daripada luar negara, ia akan menjejaskan bekalan.

“Jadi, pegawai-pegawai kami akan menyiasat perkara itu dan mencari kelompongan di manakah berlakunya ketiadaan barang yang dimaksudkan, untuk kami mengarahkan pembekalan itu dibuat supaya sesuatu kawasan itu dapat menikmati barang tersebut,” katanya. –TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan