Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lebih sejuta pelancong tiba di negara ini, iaitu melebihi separuh daripada sasaran dua juta pelancong antarabangsa yang ditetapkan kerajaan pada tahun ini, sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April lepas.

Lebih sejuta pelancong tiba di Malaysia sejak 1 April

SHAH ALAM, 4 Jun : Lebih sejuta pelancong tiba di negara ini, iaitu melebihi separuh daripada sasaran dua juta pelancong antarabangsa yang ditetapkan kerajaan pada tahun ini, sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April lepas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Nancy Shukri berkata sebahagian besar daripada jumlah itu adalah dari Singapura dan dijangkakan lebih ramai lagi pelancong terutamanya dari Jepun, Iran dan Korea akan datang ke Malaysia.

“Pada dua bulan lepas kita telah menerima kira-kira 600,000 pelancong dari Singapura dan saya rasa kini telah melebihi satu juta, untuk negara itu sahaja.

Baca > > > Malaysia jangka raih RM8.6 bilion pendapatan pelancongan – Nancy Shukri

“Bagi pelancong negara lain, kita belum dapat memberi jumlah yang tepat kerana masih menunggu maklum balas pihak yang berkenaan, tetapi memadai untuk dikatakan kita telah mencapai lebih separuh daripada apa yang disasarkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Livery Pesawat Firefly Airlines dan Kempen #Gojalanlah di sini, hari ini.

Menurutnya prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ‘mesra pelancong’ juga diyakini mampu menjadi daya tarikan bagi kedatangan lebih ramai pengunjung luar negara ke Malaysia.

“Orang seronok dengan SOP kita yang tidak mewajibkan kuarantin, ujian pengesanan COVID-19 dan insurans, sebaliknya terpulang kepada pelancong untuk berbuat demikian,” katanya. 

Baca > > > Penerbangan terus KL-Doha pacu pemulihan industri pelancongan Malaysia – Nancy

Bagaimanapun, menurutnya industri pelancongan negara masih berhadapan dengan masalah kekurangan pekerja impak daripada wabak COVID-19, termasuk terdapat pekerja hotel takut untuk kembali bekerja kerana ketidaktentuan industri itu yang mungkin ditutup semula.

Dalam pada itu, Nancy berkata pihaknya masih belum menerima pengesahan mana-mana hotel yang terpaksa ditutup kesan daripada COVID-19, namun beliau dimaklumkan sesetengah hotel ditutup sementara untuk kerja pengubahsuaian dan ada yang diguna semula untuk tujuan lain.

Mengenai #Gojalanlah, beliau berkata kempen itu adalah kerjasama pintar Firefly bersama Tourism Malaysia, bagi menyokong usaha kerajaan menyemarakkan lagi promosi pelancongan domestik.

Kempen tersebut menawarkan pembelian tiket penerbangan berserta hotel penginapan pada harga diskaun sehingga 35 peratus, dengan tempahan boleh dibuat di www.fireflyz.com.my hingga 30 Jun ini bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Dis. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan