KUCHING, 2 Jun: Pemain sayap kanan Sarawak United FC Nur Shamie Iszuan mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki jika ingin terus meningkat ke tahap lebih tinggi.
Menurut pemain berusia 27 tahun itu, seperti yang dilapor Malaysian Football League (MFL), aspek penyudahnya masih dilihat kurang memuaskan meskipun corak permainan anak kelahiran Kuching itu dilihat agak cemerlang pada musim ini.
Selepas menjaringkan dua gol serta melakukan dua bantuan jaringan, termasuk di pentas Piala FA, Nur Shamie jelas menjadi antara tonggak serangan Sarawak United FC.
“Saya gembira kerana diturunkan dalam semua perlawanan buat pasukan pada musim ini, cuma belum berpuas hati secara keseluruhan dengan prestasi saya kerana tidak semua perlawanan saya bermain secara konsisten.
“Aspek paling dibimbangkan adalah sentuhan penyudah kerana banyak juga peluang yang dilepaskan, termasuk dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol.
“Perkara ini sentiasa ditegur oleh jurulatih, B. Satiananthan, malah semasa E. Elavarasan juga, dia mahu saya cuba perbaiki kelemahan itu serta lebih tenang apabila mendapat peluang.
“Satu perkara yang sangat menggembirakan saya pada musim ini ialah apabila mengetahui nama saya ada dalam senarai menunggu skuad kebangsaan. Ini adalah satu pengiktirafan terhadap apa yang dipamerkan bersama Sarawak United pada musim ini.
“Agak lama juga saya tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan, dan situasi ini menyuntik kembali motivasi untuk memberikan yang lebih baik buat diri sendiri dan juga Sarawak selepas ini,” katanya.
Nur Shamie menjadi tonggak utama skuad bawah 22 tahun negara pada tahun 2017 dan pernah bermain untuk Negeri Sembilan dan PJ Rangers FC selain Sarawak.
Sementara itu, Nur Shamie mengharapkan tempoh rehat yang panjang sekarang boleh membuka ruang buat Sarawak United untuk bangkit dan keluar dari zon penyingkiran Liga Super.
Beliau mengakui kualiti saingan dalam Liga Super pada musim ini sangat mencabar dan setiap perlawanan adalah sukar bagi Sarawak United untuk mendapatkan kemenangan.
“Kami baharu meraih dua kemenangan daripada sembilan perlawanan. Kedudukan itu belum selamat dan kami perlu mempamerkan peningkatan pada pusingan kedua Liga Super.
“Harapan saya agar Sarawak boleh bangkit dengan meraih seberapa banyak kemenangan bagi memastikan kami boleh kekal dalam Liga Super pada musim depan,” katanya.
Sarawak United menduduki tangga ke-10 Liga Super dengan kutipan tujuh mata setakat ini, namun kedudukan itu dijangka sementara sahaja buat mereka memandangkan Terengganu FC yang berada di tangga ke-11 baharu turun beraksi dalam empat perlawanan. – TVS