KOTA KINABALU, 2 Jun : Kerajaan Sabah memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta bagi tujuan transformasi pendidikan negeri menerusi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata TPNS dapat menaja anak-anak tempatan yang ingin melanjutkan pelajaran ke universiti.
“Kerajaan Negeri menyokong penuh inisiatif ini untuk menokok tambah usaha bersama membangunkan agenda pendidikan di negeri ini.
“Pelaksanaan ini sejajar dengan fasa pertama Pelan Pembangunan SMJ 1.0 2021-2025 yang antaranya menjadikan modal insan dan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan TPNS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini (Khamis).
Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata Kerajaan Negeri amat memberi penekanan kepada pembangunan modal insan di Sabah.
Justeru, katanya, pelbagai insentif diberikan bagi memperkasakan pendidikan negeri, termasuk dengan penubuhan TPNS yang merupakan satu daripada “touch points” dalam Belanjawan 2022 Negeri Sabah. – TVS