Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Juri mahkamah di Virginia memberikan kemenangan kepada Johnny Depp selepas mendapati beliau menjadi mangsa fitnah bekas isterinya Amber Heard.

Johnny Depp menang besar dalam kes fitnah terhadap Amber Heard

ByYazid Ibrahim

WASHINGTON, (Amerika Syarikat) 2 Jun : Juri mahkamah di Virginia telah memberikan kemenangan kepada bintang lakonan Johnny Depp dalam satu kes fitnah selepas mereka mendapati beliau menjadi mangsa fitnah bekas isterinya Amber Heard dalam satu tulisan akhbar pada 2018.

Bagaimanapun, ia turut menyokong saman balas yang dikemukakan oleh aktres itu, lapor Agensi Anadolu.

Juri menganugerahkan ganti rugi hukuman dan pampasan sebanyak AS$15 juta (RM65.9 juta) kepada Depp tetapi jumlah ganti rugi hukuman dihadkan kepada AS$350,000 (RM1.54 juta) di bawah undang-undang negeri, yang bermakna pelakon itu akan menerima AS$10.35 juta (RM45.4 juta) sebagai bayaran penyelesaian.

Depp mengalu-alukan keputusan itu, dan berkata juri “memberi saya balik kehidupan saya”.

“Saya benar-benar terharu,” beliau menyebut dalam satu kenyataan.

“Dari awal lagi, matlamat kes ini adalah untuk mendedahkan kebenaran, tidak kira apa pun kesudahannya. Bercakap benar adalah sesuatu yang saya wajib lakukan untuk anak-anak saya dan untuk semua yang sentiasa teguh menyokong saya. Saya rasa tenang dengan kesedaran bahawa saya akhirnya telah berjaya mencapai perkara itu.”

Depp telah mengemukakan saman bagi jumlah sebanyak AS$50 juta (RM219.5 juta) tetapi disaman balik oleh Heard bagi jumlah sebanyak AS$100 juta (RM439 juta) berdasarkan dakwaan bahawa bintang ‘Pirates of the Caribbean’ berusia 58 tahun itu memfitnah Heard ketika Depp menyatakan tuduhan Heard tentang penderaan adalah tidak benar.

Depp tidak hadir di mahkamah tetapi pasukan guamannya nampak begitu gembira dengan keputusan itu.

Perbicaraan itu menarik perhatian global dan menjadi sajian tetap dalam media sosial.

Sementara itu, Heard berkata beliau kecewa dengan keputusan itu, sejurus selepas ia dibaca.

“Saya malah lebih kecewa lagi dengan apa maksud keputusan ini bagi wanita lain. Ia adalah sesuatu yang mundur. Ia kembali kepada zaman di mana seorang wanita yang bersuara boleh dimalukan dan diaibkan secara terbuka. Ia memundurkan idea bahawa keganasan terhadap wanita mesti dipandang serius,” beliau menyebut dalam satu kenyataan di akaun Twitternya.

“Saya sedih kerana kalah dalam kes ini, tetapi saya lebih sedih lagi kerana saya seakan-akan kehilangan hak yang saya sangka saya miliki sebagai seorang rakyat Amerika – untuk bercakap secara bebas dan terbuka,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan