KUCHING, 31 Mei: Rang undang-undang (RUU) berkenaan ordinan Dana Kekayaan Berdaulat dijangka akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November kelak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dana berkenaan yang akan memberikan manfaat kepada generasi akan datang bermodelkan Dana Pencen Kerajaan Global Norway.
Tambahnya, ia dijadualkan untuk mula beroperasi pada tahun 2024 selepas diluluskan.
“Sekarang ini Sarawak mempunyai rizab kewangan yang terbesar antara negeri-negeri dan pertambahan kepada simpanan negeri ini harus dilaburkan semula sebahagiannya,” katanya dalam perutusan sempena Gawai Dayak 2022.
Sementara itu, beliau berkata, Sarawak juga berjaya menarik minat pelabur luar untuk membuat pelaburan dan ia disumbang faktor kestabilan politik dan kemakmuran rakyatnya.
“Masa depan Sarawak amat cerah dengan memiliki banyak sumber yang boleh digunakan untuk menjadikan Sarawak kuasa ekonomi di rantau Asia Tenggara,” ujarnya. – TVS