KUCHING, 31 Mei : Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengakui projek Pan Borneo mengalami beberapa masalah kecil, namun ia disifatkan sebagai perkara biasa dalam perlaksanaan mana-mana projek mega.
Katanya, masalah yang timbul hanya meliputi beberapa kawasan yang mana pihaknya sedang berusaha menyelesaikannya bagi memastikan projek tersebut disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Semua projek memang ada masalah,kelmarin saya pergi ke Betong, saya memandu dari Kuching 1 jam 10 minit sampai Lachau yang mana perjalanannya sangat lancar.
“Masalah yang kita hadapi hanya beberapa sahaja, misalnya, terdapat beberapa tompok di sekitar Sarikei, Miri yang masih menghadapi masalah tetapi kami sedang cuba yang terbaik untuk menyelesaikannya,” katanya kepada media setelah meninjau pembukaan jejambat Batu 7 di sini hari ini.
Menyentuh mengenai jejambat Batu 7, Uggah berharap ia dapat membantu melancarkan lalu lintas di kawasan berkenaan meskipun belum dibuka sepenuhnya.
“Walaupun satu lorong dibuka, kita dapat melihat kelancaran lalu lintas, sebab itu saya harap dengan pembukaan ini kita dapat mengurangkan tekanan lalu lintas.
“Ia dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Ogos tahun ini,” katanya. – TVS