KUALA LUMPUR, 31 Mei : Keputusan kerajaan untuk memansuhkan kelulusan kuota import (AP) bahan makanan berkuat kuasa serta-merta pada 18 Mei lepas adalah langkah tepat untuk menstabilkan harga makanan.
Profesor Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin berkata ketika ini dunia sebenarnya mengalami krisis kos makanan menyaksikan kenaikan harga bahan makanan termasuk bijirin bagi ternakan, sekali gus menyebabkan harga makanan meningkat.
Katanya berdasarkan maklumat daripada pemain industri, langkah yang diambil kerajaan itu mula menunjukkan kesan positif apabila dikatakan terdapat penurunan harga bekalan makanan di pasaran.
“Kerajaan ada dua pilihan polisi iaitu untuk menjaga pengeluar atau menjaga kebajikan pengguna. Untuk pemansuhan AP, harga akan turun, ini bermakna kerajaan menjaga kebajikan pengguna, selain bertepatan untuk membendung kadar inflasi negara yang meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan secara langsung, malam ini yang turut menampilkan panel jemputan lain Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad yang juga Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera Datuk Dr Ameer Ali Mydin.
Ameer Ali menyifatkan pemansuhan AP itu tindakan berani kerajaan yang memberikan kelegaan khususnya kepada peniaga dan pengguna untuk mendapatkan bekalan makanan pada harga yang wajar.
“Sekarang ini untuk AP, kita fokus sangat pada ayam, tetapi (sayur) kobis sekarang sudah turun harga kerana tiada AP. Kita sudah turun harga (sayur kobis) lebih daripada 40 sen. Disebabkan (pelaksanaan) AP, lebih kurang 30 ke 40 sen kita kena bayar.
“Pemansuhan AP betul-betul menolong rakyat untuk mendapatkan harga yang adil. Ia tidak murah tetapi harga yang adil dan kompetitif,” katanya.
Pada 18 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kabinet bersetuju tidak mengenakan AP bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
Bagaimanapun, Mad Nasir berpandangan langkah memansuhkan AP dilihat tidak sesuai untuk jangka masa panjang kerana bimbang akan memberi kesan kepada Tahap Sara Diri (SSL) sekuriti makanan negara dan tersasar dari pelan strategik untuk pengeluaran makanan tempatan.
Katanya, memandangkan SSL untuk makanan asas dalam negara adalah rendah, maka penting untuk negara melindungi industri pengeluaran makanannya seperti mewujudkan semula AP apabila keadaan kembali pulih supaya kedaulatan makanan negara terjaga.
“Perlu kita faham, AP bertujuan untuk memastikan menetapkan kuota tertentu mengimport makanan untuk mendorong pengeluaran pertanian negara dan membantu petani tempatan,” katanya.
Berdasarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030, SSL ditakrifkan sebagai penunjuk mengukur kemampuan sebuah negara untuk memenuhi keperluan makanan daripada pengeluaran domestiknya sendiri.
Mengulas lanjut, Mad Nasir berkata terdapat empat komponen di dalam sekuriti makanan melibatkan ketersediaan makanan, kebolehcapaian makanan, penggunaan makanan serta kestabilan makanan.
“Dari segi ketersediaan makanan adalah sama ada (negara) kita keluarkan sendiri atau import makanan itu. Kebolehcapaian makanan pula bermaksud makanan itu sudah ada dalam negara kita, isunya adalah sama ada isi rumah dapat mendapatkan makanan tersebut.
“Untuk penggunaan makanan pula ini adalah sama ada makanan itu boleh dimakan atau tidak, itu isu keselamatan makanan dan juga dari segi corak pemakanan kita. Dari segi kestabilan makanan, stabil itu maknanya makanan harus ada pada setiap masa,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar semua kerajaan negeri mewujudkan lebih banyak tanah pertanian dengan bantuan kerajaan Persekutuan untuk memberikan insentif berasaskan hasil tanah pertanian itu, selain mengajak lebih ramai golongan muda berkecimpung sebagai usahawan tani. –TVS