SIBU, 31 Mei : Akibat panik seorang bapa nekad membawa bersama mayat anak perempuannya yang telah disahkan meninggal dunia ke Balai Polis Sentral Sibu pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.10 pagi Isnin.
“Situasi tegang itu berlaku apabila anggota polis di balai berkenaan tergamam melihat bapa berusia 69 tahun itu, meletakkan jasad anaknya di perkarangan balai ketika hendak membuat laporan kematian,” ujarnya.
Terdahulu, ayah mangsa mendapati anaknya berusia 49 tahun itu terbaring dan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah mereka di Bawang Assan di sini.
Susulan itu, ayah mangsa serta ahli keluarga kemudian bergegas membawa mangsa ke klinik kesihatan di Bawang Assan.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia.
“Pihak klinik menasihatkan ahli keluarga supaya membuat laporan polis dan meninggalkan jasad wanita itu di klinik berkenaan, namun bapanya berkeras untuk membawa bersama mayat anaknya ke Balai Polis Sentral Sibu,” katanya lagi.
Satu kertas siasatan dibuka berhubung kematian wanita itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. –TVS