KUCHING, 30 Mei : Kerajaan Sarawak menyediakan dana berjumlah RM70,000 sebagai bantuan kepada mangsa sekiranya berlaku kebakaran di rumah panjang.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, selain dana tersebut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak juga akan turut menghulurkan bantuan dan sumbangan.
“Bagi kerajaan Sarawak apabila ada kebakaran berlaku, mangsa hilang rumah panjang dan mereka juga kehilangan baranagan makanan jadi kita ada pertolongan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bagi kerajaan negeri Sarawak, Premier telah meluluskan apabila berlaku kebakaran rumah panjang ataupun rumah persendirian kita akan memberi bantuan maximum RM70,000,” katanya pada Majlis Perasmian Program Kempen Keselamatan Kebakaran Sempena Perayaan Hari Gawai Tahun 2022.
“Ia cuma untuk satu pintu terbakar, sebab kadang-kadang 24 pintu dan bila mereka membina rumah panjang yang baru ada tambah sepuluh lagi, yang pertambahan itu tidak termasuk yang terbakar.
“Sama juga seperti kampung, kampung yang terbakar.
“Sekira berlakunya kebakaran, laporkan kepada pihak bomba dan pejabat daerah. Setiap permohonan akan dimaklum kepada pihak sekretariat,” katanya lagi.
Permohonan bagi bantuan-bantuan berkenaan boleh dilakukan di Pejabat Daerah berserta laporan kebakaran daripada pihak bomba. – TVS