Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Alumni UPM serah sumbangan komputer riba kepada pelajar

ByBernama

SERDANG, 30 Mei: Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Alumni UPM (PAUPM) hari ini menyerahkan sumbangan komputer riba kepada golongan memerlukan termasuk seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU).

Sumbangan diserahkan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) merangkap Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Sumbangan itu merupakan usaha alumni UPM bersempena sambutan perayaan Jubli Emas 50 Tahun UPM, disumbangkan kepada pelajar asnaf dan golongan B40. 

Ras Adiba berkata usaha alumni UPM tersebut amat dialu-alukan, menunjukkan mereka prihatin terhadap pelajar yang amat memerlukan komputer riba bagi mengikuti sesi pembelajaran yang adakalanya diadakan secara hibrid. 

“Waktu pandemik merupakan waktu paling sukar bagi pelajar, ada antara mereka tidak mempunyai gajet untuk belajar secara dalam talian ketika itu, namun dengan bantuan dan sokongan berterusan begini oleh alumni UPM, mereka (pelajar) akan terinspirasi untuk berusaha dengan lebih lagi,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan kepada enam pelajar UPM.

Pelajar tahun pertama Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu Nurdinie Azlan, 21, berkata pemberian itu amat dihargai olehnya kerana tidak perlu bergantung kepada telefon bimbit atau meminjam komputer rakan bagi menyiapkan tugasannya.

“Sebelum ini saya guna Microsoft Word dalam telefon untuk buat tugasan, lepas ini akan senang tugas saya sebab boleh guna laptop,” katanya yang juga merupakan OKU fizikal.

Pada majlis sama, turut diadakan sesi penyerahan bendera UPM yang telah dikibarkan di puncak Gunung Everest oleh seorang pendaki solo dan alumni UPM iaitu T. Ravichandran kepada Pengarah Pusat Perhubungan Alumni Prof Madya Dr Arba’ie Sujud.

Ravichandran berjaya menawan puncak tertinggi dunia pada 12 Mei lepas buat kali ketiga, selepas pendakian pada 2006 dan 2007 dan pada kali ini, beliau turut membawa bendera UPM untuk dikibarkan sebagai mesej motivasi kepada para pelajar bahawa tiada apa yang mustahil untuk mengecapi kejayaan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan